Friday, 24 August 2012

Sejarah Kolej





PENGENALAN
Nama Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang cukup gah di negeri Sarawak. Gahnya namanya semegah deretan bangunannya yang tersergam kukuh di atas sebuah bukit yang bernama Tanjung Lobang di bahagian Miri, Sarawak.
Walaupun sekolah ini telah berusia lebih kurang suku abad namun usia itu tenggelam oleh kerana dek pemandangan semulajadinya yang indah dan menghala ke Laut China Selatan. Gahnya Kolej ini bukanlah kerana kedudukan dan pemandangannya yang indah tetapi kerana sumbangannya yang tidak boleh dikira dan diukur di persada pendidikan.
Hal ini demikian kerana sejak ditubuhkan lebih suku abad yang lalu, Kolej telah menjadi platform dalam melahirkan beribu-ribu pelajar yang membudayakan ilmu di bumi Kenyalang ini dan telah melahirkan ramai individu serta tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang bersesuaian dengan slogan “Di Sini Pemimpin Dilahirkan”.
Dengan menyingkap kembali sejarah Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, kita dapat menyaksikan Kolej ini berjaya mengekalkan imejnya sebagai salah sebuah institusi pendidikan terpilih, melalui kejayaan-kejayaan yang dicapai sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum.
SEJARAH KOLEJ
Sejarah awal Kolej bermula kira-kira 48 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1956 melalui cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan beberapa buah sekolah menengah kerajaan berasrama untuk pelajar-pelajar pelbagai kaum dari kawasan luar bandar.
Usaha ini menjadi kenyataan apabila pada tahun 1957 Government Secondary School yang merupakan sekolah kerajaan yang pertama di Miri telah dibina. Empat orang pegawai yang menggemblengkan tenaga dalam penubuhan sekolah ini ialah Encik M.G. Dickson sebagai Pengarah Pelajar dan Encik Robert Nicholl sebagai Pegawai pelajaran pada masa itu.
Rev.Fr.D.R.Rawlins pula merupakan Pengetua yang pertama sekolah ini manakala Captain D.R Gribble dari Syarikat Minyak Sarawak adalah orang yang telah banyak memberi bantuan di awal penubuhan sekolah ini.

Kumpulan Guru Pertama Di Bawah Colombo Plan
Gordan Blake, Allen Whiteman, Father Dong Raawlin ( Principal ), Garnet Dearnly
Oleh kerana terlalu mementingkan ilmu demi generasi pada masa itu, sesi persekolahan telah dimulakan di tapak sementara yang berada di kawasan bandar Miri. Beberapa bangunan Syarikat Minyak Sarawak (SHELL) yang terletak di belakang masjid lama miri telah digunakan sebagai bilik darjah sementara, manakala rumah rehat untuk Pegawai Perkhidmatan Kanan SHELL pula digunakan sebagai asrama.

Tapak asal sekolah (Sekolah Menengah Kerajaan Miri) : Di belakang Masjid Miri
Semasa sesi persekolahan yang pertama bermula, seramai 6 orang tenaga akademik dan 87 orang pelajar yang datang dari bahagian Miri dan Limbang terdiri daripada pelbagai kaum dan juga bangsa. Sebanyak 4 buah kelas telah dibuka, iaitu satu kelas Darjah Lima bagi menempatkan pelajar-pelajar Bumiputera dan kelas Peralihan bagi pelajar-pelajar aliran bahasa Cina yang tamat Darjah 6. Dua buah kelas lagi untuk Tingkatan 4 dan untuk guru-guru pelatih.
Setelah lebih kurang dua tahun menumpang, pada tahun 1959 sekolah ini telah berpindah ke tapak barunya di Tanjung Lobang. Berikutan pemindahan itu, sekolah ini telah dikenali sebagai “Tanjung Lobang School”. Biaya pembinaan sekolah ini adalah daripada Kerajaan New Zealand di bawah skim Bantuan Rancangan Colombo. Pembukaan sekolah ini telah dirasmikan pada 24 September 1959 oleh Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, iaitu Encik R.L. Hutchens.


Selaras dengan pembangunan di Sarawak, Kolej ini turut berkembang dengan pesatnya. Jika pada peringkat awalnya, sekolah ini hanya menempatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dari pedalaman, tetapi pada tahun 1963 kelas untuk Tingkatan 6 telah dimulakan. Enam tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1969, sekolah ini hanya dikhususkan untuk pelajar Tingkatan 4 ke atas sahaja. Disebabkan jumlah pelajar tingkatan 6 kian bertambah dan melebihi pelajar Tingkatan 4 dan 5, pihak kerajaan mendapati sudah tiba masanya untuk menjadikan sekolah ini sebagai institusi pendidikan tinggi yang menempatkan pelajar Tingkatan 6 sahaja. Selaras dengan cita-cita itu, pada 6 Mei 1969.
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Penghulu Tawi Sli, telah merasmikan penganugerahan taraf Tanjong Lobang School kepada taraf Kolej. Sejak itu, bermulalah era baru dalam sejarah Kolej dengan nama barunya Tanjong Lobang College. Pada tahun 1973, Tuan Yang Terutama Gabenor Sarawak, Tun Datu Tuanku Haji Bujang, telah melawat ke Kolej buat pertama kalinya sejak sekolah ini ditukar nama menjadi Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, pada tahun 1971.
Tahun demi tahun Kolej kian berkembang kerana pada tahun 1976, kelas Tingkatan 4 diwujudkan semula. Selaras dengan dasar Pelajaran Kebangsaan, Kolej memperkenalkan kelas aliran Bahasa Malaysia pada tahun 1980 buat pertama kalinya. Pada tahun 1982 pula, aliran Bahasa Malaysia dalam Tingkatan 6 Sastera telah diperkenalkan. Kemudian, pada tahun 1984, murid-murid Tingkatan 1 telah ditawarkan untuk belajar di Kolej berdasarkan keputusan penilaian Darjah 5.
Nama Kolej kian harum. Harumnya bunga di taman sekolah ini tidak mampu menandingi keharuman nama Kolej di Malaysia umumnya dan di Sarawak khasnya. Hal ini demikian kerana sejak penubuhannya dulu Kolej masih mekar diingatan dan disegani hingga ke hari ini. Ini terbukti kerana Kolej sering dilawati oleh orang-orang kenamaan. Antaranya ialah, TYT Negeri Pulau Pinang, Datuk Patinggi (Dr.) Haji Hamdan Bin Sheik Tahir dan rombongannya telah membuat lawatan rasmi ke Kolej pada 26 Jun 1992. Sebelum itu, beliau juga pernah melawat ke Kolej pada tahun 1972 dan 1975 selaku Ketua Pengarah Pendidikan.
Selain itu, Kolej juga turut dilawati oleh hampir kesemua Menteri Pendidikan Malaysia. Antaranya ialah, Tun Hussein Onn pada 23 Mac 1972, Mohamed Yacob pada 15 Mac 1974, Dato Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad pada 28 April 1875, dan Datuk Amar Sulaiman Bin Haji Daud pada 30 Mei 1982. Lawatan yang terbaru pula ialah lawatan oleh Datuk Hishamuddin Tun Hussein pada 5 Disember 2004.
Dengan adanya lawatan-lawatan sedemikian dapatlah dijadikan sumber inspirasi oleh seluruh warga Kolej demi memartabatkan lagi kualiti pendidikan dalam melahirkan anak bangsa yang berguna pada masa yang akan datang. Semoga Kolej terus cemerlang, gemilang dan terbilang selamanya.

No comments:

Post a Comment